KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru meminta kerajaan negeri menyelaraskan cuti minggu untjuk sektor swasta di Johor pada hari Jumaat dan Sabtu.
Ketua Pemuda Johor Bahru, Syaiful Rizal Abd. Ghani berkata, perbezaan cuti minggu antara sektor awam dan swasta meyulitkan kehidupan orang ramai terutama mereka yang bekerja dalam sektor swasta.
“Kami sendiri merasai kepayahan untuk menyesuaikan diri terutama mereka yang bekerja dalam sektor swasta tetapi mempunyai anak-anak yang bersekolah, menyukarkan masa bersama keluarga masing-masing.
“Ini kerana anak-anak akan bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu, manakala ibu-bapa yang bekerja dalam sektor swasta pula akan bercuti pada Sabtu dan Ahad,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Syaiful Rizal berkata, pekerja sektor swasta turut mengalami isu cuti umum jatuh pada hari Ahad sedangkan mereka bekerja pada hari tersebut tetapi majikan tidak membenarkan pekerja menggantikan cuti pada hari Isnin.
Beliau memberi contoh Cuti Hari Raya Aidiladha pada 5 Oktober ini pada hari Ahad tetapi Pemuda UMNO Johor menerima aduan ramai kakitangan bank tidak dibenarkan cuti ganti dan diarahkan supaya bekerja pada 6 Oktober ini.
“Sehubungan itu, kami menyarankan agar penyeragaman cuti tidak kira swasta atau kerajaan diselaraskan kepada hari Jumaat dan Sabtu bermula 1 Januari 2015 ini,” katanya. – mynewshub.cc