Pendakwa raya kes feri Sewol karam yang meragut 300 nyawa penumpang pada 16 April lalu memohon mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati buat kaptennya, Lee Joon Seok.
Menurut laporan agensi berita tempatan, Yonhap News, lelaki warga emas berusia 68 tahun itu meninggalkan feri tanpa apa-apa usaha menyelamatkan penumpang yang masih terperangkap.
“Kapten itu, sebagai individu yang diberi kepercayaan mengendalikan Sewol, telah mengabaikan tugasnya kerana dia sepatutnya berada di dalam feri tersebut sehingga penumpang terakhir berjaya dikeluarkan,” hujah pendakwa raya.
Perbicaraan yang diadakan di Mahkamah Daerah Gwangju turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas tiga krew yang cuai hingga mengakibatkan insiden tersebut berlaku.
Selain itu, hukuman penjara antara 15 hingga 30 tahun dipohon buat 11 krew lain yang dituduh mengabaikan dan mencabul akta keselamatan kapal.
Dalam kes ini, para pendakwa raya menyalahkan Lee dan 14 krewnya kerana mengarahkan semua penumpang untuk kekal di dalam feri manakala mereka keluar untuk menyelamatkan diri.
Hukuman akan dijatuhkan mahkamah awal bulan hadapan terhadap kesemua 15 tertuduh.
Daripada keseluruhan penumpang, hanya 174 berjaya diselamatkan manakala baki majoritinya pelajar yang sedang berada dalam lawatan sekolah terkorban manakala 10 mangsa lagi masih hilang. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR