BANGI – Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mengubah pendekatan berkempen daripada bersemuka dengan rakyat kepada komunikasi tanpa lisan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perubahan itu bersesuaian dengan keadaan semasa memandangkan terdapat kira-kira 6.2 juta pengundi baharu terdiri daripada golongan muda.
Menurutnya, generasi pengundi muda lebih gemar berinteraksi di media sosial berbanding menonton televisyen, mendengar radio atau membaca surat khabar.
“Oleh itu pendekatan parti-parti komponen BN mesti menggunakan pendekatan kempen secara tanpa lisan kerana kumpulan sasaran ini adalah berbeza berbanding semasa era politik sebelum 2008,’ katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Gempur Magic anjuran Majlis Belia Selangor dan Biro Tata Negara (BTN) yang disertai calon-calon Parlimen Belia dari Selangor, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata melihat senario masa kini, majoriti ahli politik masih mengamalkan kaedah komunikasi secara bersemuka berbanding penggunaan media sosial untuk berbicara dengan generasi muda.
“Oleh kerana pendekatan lama, saya lihat calon BN menerima tamparan hebat dari segi majoriti undi yang diperoleh pada PRU 2008 dan 2013.
“Saya juga tidak terkecuali apabila mendapat majoriti cukup rendah…rakyat kini memperoleh maklumat melalui dunia siber,” katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut menasihatkan calon Parlimen Belia dari Selangor supaya menggunakan kaedah kempen secara tanpa lisan yang dilihat lebih bersesuaian.
Katanya pendekatan Kementerian Belia dan Sukan mewujudkan Parlimen Belia itu amat bertepatan bagi mencungkil lebih banyak bakat-bakat kepimpinan belia di persada politik tanah air. – BERNAMA