Pemimpin pada masa kini perlu menggunakan pendekatan yang berbeza yang tidak terlalu menjurus kepada politik khususnya kepada anak muda kerana bukan semua golongan pemuda mempunyai minat kepada politik.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata, jika pemimpin pada masa kini menggunakan pendekatan sama seperti sebelum ini pada tahun 60-an dan 70-an, mereka akan ketinggalan zaman.
Beliau berkata keadaan amat berbeza pada zaman dahulu, kerana pada ketika itu negara terlalu banyak isu-isu besar peringkat nasional yang perlu diperjuangkan untuk rakyat, amat berbeza dengan masa sekarang.
[BACA – Pengguna Facebook Anggap Khairy Jamaluddin Kemaruk Perhatian]
Khairy berkata pendekatan ahli politik kini perlu berbeza mencari apa yang mereka mahu berdasarkan kepada minat mereka.
“Ada ramai golongan muda yang non-partisan atau ‘atas pagar’, bagaimana kita dapat bersama dengan mereka, bagaimana kita dapat mencetuskan idea yang memikat hati mereka dan tidak terus pergi kepada politik,” katanya ketika berucap di Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) di Subang Jaya, semalam.
Beliau berkata jika pendekatan berbentuk politik juga digunakan, kemungkinan hati dan keinginan mereka tidak dapat dipenuhi kerana jiwa mereka tidak berminat kepada cara pendekatan yang digunakan.
“Mereka berminat kepada isu lain, mereka minat kepada isu berkaitan alam sekitar, perjuangan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), mereka menunjuk minat kepada isu lain seperti pendidikan atau pembasmian kemiskinan,” katanya.
Menurut Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, tugas pemimpin ialah mencari apakah punca minat yang ada pada golongan muda pada hari ini.
Beliau menambah, suasana dunia pada ketika ini yang terbuka dan luas, pemimpin tidak lagi boleh membawa pendekatan menggunakan satu hala tuju politik sahaja seperti kebiasaan.
Beliau memberikan reaksi kepada segelintir pihak yang membuat perbandingan pencapaian golongan pemuda pada masa kini dengan kegemilangan pemuda pada tahun 60-an dan 70-an yang pada Khairy begitu berbeza.
Pada era pemuda zaman moden kini, pergerakan pemuda perlu bertindak menyelesaikan isu segera kepada kemahuan anak muda berbeza dengan cara perjuangan seperti dahulu.
Khairy semalam berucap pada forum Evolusi Politik Anak Muda Malaysia di akademi itu yang baru ditubuhkan sebagai pusat bimbingan untuk melahirkan pemimpin dari kalangan pemuda melalui kursus politik yang dianjurkan. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K | Foto : RIZA RAZAKÂÂ