Setelah hampir seminggu berdiam diri akibat dari tekanan banyak pihak kerana penganjuran program I Want To Touch A Dog, akhirnya penganjur acara tersebut, Syed Azmi Alhabshi akan mengadakan sidang media esok.
Menurut portal The Malaysian Insider, Syed Azmi akan memberi penjelasan kepada media berkenaan kontroversi yang timbul ekoran penganjuran acara tersebut di Petaling Jaya ahad lepas.
Semalam, Syed Azmi akhirnya membuka mulut di laman sosial dan memuat naik komentar di ruangan Facebook program itu yang ditutup kepada orang ramai sebelum ini.
Tulisnya, “Saya minta maaf sangat kepada mereka yang sedang dalam kesusahan sekarang. Sungguh. Terima kasih kerana faham permintaan ini.”
Ujarnya lagi apabila ditanya tentang situasi ketika ini, “Hello, saya okay. Maaf, sibuk menguruskan beberapa projek spontan yang saya rancang untuk mulakan esok.”
Sepanjang 5 hari lepas, Syed Azmi gagal untuk dihubungi setelah ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan nombor telefon peribadinya di media sosial.
Selain tohmahan, dia juga menerima banyak ugutan bunuh dan dituduh seorang Kristian dan penganut Syiah akibat dari penganjuran acara tersebut.
Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir pihak menunjukkan sokongan terhadapnya dengan meninggalkan kata-kata positif di laman sosial.
Apa pun, kita tunggu sahaja esok untuk mendengar sendiri penjelasan dari Syed Azmi Alhabshi. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR