KEMAMAN – Seorang pengawal keselamatan di sebuah bekas kilang membuat papan lapis di Kawasan Perindustrian Jakar ditemui mati oleh rakan sekerjanya dalam sebuah pos kawalan di sini jam 4 petang semalam.
Mangsa Zahari Abdullah, 53, berasal dari Kampung Jong Berlabuh dipercayai sudah meninggal dunia lebih kurang 3 jam sebelum ditemui berdasarkan keadaan mayatnya.
Isteri mangsa Halimah Ripin, 42, berkata, sebelum itu suaminya memaklumkan dia sudah mengambil wang yang dikirim anaknya kerana hendak makan bersama setelah selesai kerja.
Mangsa dikatakan baru saja pulang ke pos kawalannya setelah keluar rehat pada pukul 10.00 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat. – BERNAMA