SEREMBAN – Penggantungan aktiviti rekreasi air di sepanjang perairan Port Dickson ditarik balik mulai hujung minggu ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata penarikan semula penggantungan itu adalah dengan bersyarat itu pihak-pihak terlibat mesti mematuhi segala kaedah operasi aktiviti rekreasi air yang telah dipersetujui bersama.
“Keputusan menarik balik penggantungan yang dikenakan sejak September lalu dibuat berdasarkan nasihat daripada Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Keselamatan Pantai Peranginan Negara Port Dickson yang ditubuhkan kerajaan negeri sebelum ini.
Penggantungan itu sepatutnya berkuat kuasa selama tiga bulan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Sehubungan itu katanya pengusaha perkhidmatan aktiviti rekreasi air dikehendaki mendaftarkan semula bot penumpang dan alatan kraf air di Jabatan Laut dengan beberapa syarat tambahan membabitkan peralatan rekreasi air berkenaan.
Selain itu, katanya, pengusaha juga dikehendaki mempamerkan nombor lesen bot pada bot penumpang dan alatan kraf air sepanjang masa.
“Kerajaan negeri akan turut membuat penambahbaikan seperti meletakkan pelampung sebagai penanda sempadan antara kawasan laluan bot dan lokasi untuk orang ramai mandi-manda,” katanya.
Mohamad berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha aktiviti rekreasi air yang didapati melanggar atau sengaja mempermainkan tatacara operasi ditetapkan.
Sementara itu, katanya, Kaedah-Kaedah Kraf Air Peribadi 2014 sedang digubal bagi memastikan setiap aktiviti kraf air di negeri ini dikawal selia sepenuhnya dan proses penggubalannya kini memasuki peringkat akhir.
“Enakmen ini memang ada bagi sukan air yang diperkenalkan di bawah Jabatan Laut sekitar 90-an, tetapi, enakmen itu tidak pernah dikuatkuasakan kerana tidak mempunyai kaedah untuk pengoperasian. Sementara menunggu pindaan dibuat, kita keluar dengan kaedah operasi dahulu memandangkan perkara ini perlu dikaji secara teliti dan memakan masa yang lama,” katanya. – BERNAMA