KUANTAN – Seorang peniaga kedai runcit dan pekerjanya warga India menjadi individu pertama di negeri ini yang dikenakan tindakan hasil Ops Deepavali yang dilancarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bermula 7Oktober lalu bagi membendung kegiatan pemilikan dan penjualan rokok seludup.
Mohamad Farok Zainal Abidin, 39 beralamat di Lorong Pasar Baru 3 di sini dan pekerjanya, Shake Abdullah Aliar didapati menjalankan aktiviti menjual rokok seludup itu selepas pemeriksaan dijalankan ke atas premis kedai runcit 9 Oktober lalu membawa kepada penemuan 102 peket rokok pelbagai jenis bernilai RM168.80.
Kedua-dua mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam dan mengaku bersalah di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.
Dalam rayuannya, Mohamad Farok merayu agar hukuman denda ke atasnya dikurangkan memandangkan dia menyara tiga anak dan ibu bapa manakala Shake Abdullah memberitahu dia baru bekerja dan membantu keluarga di kampung halaman.
Bagaimana pun Mohd Khairuddin mohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan terhadap peniaga terbabit memandangkan aktiviti menjual rokok seludup semakin berleluasa kebelakangan ini. – Sinar Harian Online