PUTRAJAYA – Dianggarkan kira-kira 500 penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mula berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman, bagi mengikuti rayuan kes liwat yang dihadapi ketua pembangkang itu di sini, pagi ini.
Beberapa pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua kelihatan bersama kumpulan penyokong berarak dan menuju ke pekarangan mahkamah bersama penyokong yang membawa sepanduk.
Mereka cuba melakukan provokasi terhadap anggota keselamatan di pintu pekarangan mahkamah.
Ini kerana kawalan ketat anggota polis di pekarangan mahkamah apabila pendengaran kes rayuan Anwar memasuki hari kedua hari ini.
Hanya individu yang memiliki pas dibenarkan masuk bagi mendengar prosiding rayuan.
Sementara itu, Tian Chua kelihatan mengadakan perbincangan dengan anggota keselamatan bagi membenarkan penyokong Anwar memasuki kawasan hadapan Istana Kehakiman. - BH Online