PUTRAJAYA – Satu lagi inisiatif kerajaan – portal 1DANA – dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bagi kemudahan rakyat serta syarikat mengetahui bantuan yang boleh diperoleh untuk aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.
Portal sehenti itu juga membolehkan rakyat melihat semua geran dan pembiayaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan dan kementerian.
Dalam ucapan pelancarannya di sini, Najib berkata dengan adanya portal tersebut, ia dapat memberikan gambaran menyeluruh mengenai agensi atau kementerian mana yang perlu dirujuk untuk mendapatkan dana.
“Harap portal ini mendapat sambutan yang baik dan apa-apa maklum balas daripada rakyat akan diambil kira untuk penambahbaikan,” katanya.
Portal 1DANA juga mempunyai papan pemuka yang memantau dan mengesan prestasi dana yang dikeluarkan terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) negara dan juga terhadap KPI projek tertentu.
Najib berkata dalam tempoh dua tahun, kerajaan menyediakan peruntukan yang besar untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) iaitu RM2.3 bilion.
“Dalam Mesyuarat Majlis Urus Tadbir Agensi Inovasi Malaysia juga kita ada berbincang mengenai memperincikan segala peruntukan supaya menjadi faktor kejayaan iaitu daripada proses R&D kepada pengkomersialan,” katanya.
Selain itu, katanya, gabungan permintaan dan pengeluaran juga perlu diberi perhatian supaya faktor kejayaan dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari www.1DANA.gov.my
– BERNAMA