KUALA LUMPUR – Pergerakan tanah masih berlaku pada tahap minimum di kawasan tanah runtuh di Apartment Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Selangor.
Pegawai Daerah Hulu Selangor Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata laporan terkini yang diterima dari Jabatan Kerja Raya (JKR) menunjukkan pergerakan tanah di kawasan runtuhan itu bagaimanapun tidak menimbulkan sebarang ancaman.
“Kini, kerja pembaikan cerun iaitu pemasangan ‘sheet pile’ (cerucuk keping) bagi menguatkan struktur tanah di kawasan terbabit runtuhan masih berjalan sejak semalam bagi mengelak runtuhan berulang dan JKR akan terus memantau pergerakan tanah setiap jam di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Sehingga kini, sebanyak 219 keluarga membabitkan 860 penduduk yang menetap di dua blok Apartment berkenaan terlibat dalam insiden kira-kira 10 pagi, Isnin.
Mereka kini ditempatkan di tiga penempatan iaitu di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Sekolah Kebangsaan Taman Bunga 2 dan Sekolah Menengah Taman Bunga Raya 1.
Suaidi berkata setakat ini JKR belum dapat memastikan tempoh yang selamat untuk membenarkan penduduk pulang ke rumah masing-masing ekoran pergerakan tanah yang masih berlaku itu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul ketika dihubungi berkata pihaknya masih menempatkan beberapa anggota dari lima balai bomba di Zon Hulu Selangor di lokasi kejadian tanah runtuh tersebut, sebagai langkah berjaga-jaga.
Semalam, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata laporan penuh insiden kejadian tanah runtuh di Apartment Teratai akan dikeluarkan esok. – BERNAMA