PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menarik balik pembekuan permohonan Kebenaran Akta Kemajuan Petroleum (PDA) mulai hari ini.
Keputusan itu sekaligus membolehkan permohonan baru atau memperbaharui lesen mengusahakan stesen minyak, aktiviti pengisian minyak kapal, aktiviti pengangkutan bahan petroleum serta aktiviti memasar dan mengedar bahan-bahan petroleum secara borong dilakukan.
Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata beberapa syarat baru juga diperkenalkan antaranya tempoh sah laku PDA dipendekkan kepada dua tahun berbanding lima tahun sebelum ini.
“Syarat lain ialah pemohon hendaklah bebas daripada senarai hitam oleh mana-mana agensi kerajaan serta institusi kewangan dan tidak pernah melakukan kesalahan di bawah mana-mana Akta seliaan kementerian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kementerian sebelum ini mengambil keputusan membekukan sementara permohonan PDA bermula dari 10 Jun sehingga 31 Disember 2014.
Langkah itu bagi membolehkan kementerian melaksanakan proses pemutihan terhadap pemegang-pemegang PDA dan menilai kembali sistem serta prosedur permohonan sedia ada.
Hasan berkata kementerian bersetuju tempoh pembekuan ditamatkan lebih awal supaya kepentingan dan manfaat bagi semua pihak terutamanya kerajaan dan industri dapat dicapai.
“Kementerian juga berpuas hati dengan hasil pemutihan dan pemantauan yang telah dilaksanakan di mana aktiviti penyelewengan diesel dan petrol menunjukkan trend penurunan serta dapat dikawal,” katanya. – BERNAMA