KUNDASANG – Peserta Kenya menguasai Perlumbaan Kembara Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu edisi ke-28 terutama kategori terbuka wanita menyaksikan tiga kelompok teratas dikuasai peserta negara Afrika itu.
Carolyne Jepkosgei Mitei, 30, yang menduduki tempat kedua acara maraton 21km di Indonesia semalam, mempertahankan kejuaraannya pada tahun lepas, apabila menamatkan perlumbaan sejauh 23km dengan catatan 3’07:49s iaitu enam minit lebih baik berbanding tahun lepas (3’13:12s).
“Laluan amat mencabar. Tetapi ia perlumbaan yang baik dan cuaca juga baik untuk saya berlari,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan perlumbaan di sini hari ini.
Rakan senegaranya, Viola Jepchirchir Kimeli, yang merupakan naib juara tahun lalu, juga mempertahankan kemenangan di tempat kedua dengan catatan 3’18:06s, iaitu lapan minit lebih awal berbanding tahun lepas (3’26:02s).
Tempat ketiga dimenangi peserta wanita negara itu, Caroline Jeruto Kegan yang mencatat masa 3’21:08s.
Kenya juga memenangi kategori terbuka lelaki menerusi Collins Kipkorir Kimosop, 20, yang menyifatkan perlumbaan itu ‘bersih’ tetapi mencabar ketika menempuh laluan pendakian pada ketinggian 1,138.5m ke Layang-Layang Hut, di Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095.2m dari aras laut.
Beliau mencatat masa 2’23:33s menewaskan naib juara dari Singapura, Nimesh Gurung (2’25:44s) dan peserta Malaysia, Walter Herman menduduki tempat ketiga selepas menamatkan saingan dengan catatan 2’38:30s.
Juara perlumbaan itu meraih wang tunai RM5,000 sementara tempat kedua dan ketiga, masing-masing membawa pulang RM3,000 dan RM2,000.
Sementara itu, kategori veteran lelaki dinobat oleh Stephan Roger Jean Michel Bacou dari Perancis dengan catatan 2’45:08s, manakala kategori veteran wanita dirangkul oleh peserta Malaysia, Muidah Bolinting dengan masa 3’44:40s.
Mereka masing-masing memenangi wang tunai RM3,000.
Bacou yang memakai baju kemeja berkotak-kotak mencuri tumpuan penonton sebaik tiba di garisan penamat.
“Bagi saya, perlumbaan seperti membuat persembahan. Ramai yang menonton. Jadi adalah lebih baik saat itu dirakamkan dengan berpakaian cantik,” kata lelaki periang berusia 46 tahun itu.
Perlumbaan Kembara itu diadakan sejak 2012 sebagai laluan baharu menggantikan laluan ke puncak.
Laluan sejauh 23km itu bermula dari Taman Kinabalu ke Layang-Layang Hut melalui Mesilau Nature Resort dan berakhir di bandar Kundasang.
Laluan ke puncak gunung itu, yang meliputi sejauh 33km, dihidupkan kembali pada tahun lalu selepas mendapat sambutan pelari elit. – BERNAMA