GEORGETOWN – Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam kes culik seorang ejen hartanah membabitkan wang tebusan RM20,000 di sebuah pangsapuri di Paya Terubong.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata lelaki berumur antara 29 dan 31 tahun itu ditahan ketika berada di sekitar pangsapuri yang sama pukul 10.30 malam Selasa lalu.
“Suspek yang bekerja sebagai pembantu di kedai keranda dan juruteknik kamera litar tertutup itu ditahan reman enam hari mulai semalam untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, seorang daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Katanya, pemeriksaan pada badan suspek turut menemui wang tunai berjumlah RM2,915, tiga telefon bimbit dan salinan kiriman sejumlah wang ke Western Union.
Mazlan berkata, dalam kejadian Jumaat lalu, wanita berusia 49 tahun itu mendakwa diperdaya suspek yang berpura-pura mahu menjual rumah dan meminta untuk bertemu wanita itu di pangsapuri berkenaan.
Beliau berkata, ketika wanita itu tiba di pangsapuri itu pada jam 2.30 petang, suspek secara tiba-tiba menyarung kepala wanita itu dengan kain dan menolaknya di atas tangga menyebabkan wanita itu jatuh dan pengsan.
“Mangsa sedar beberapa jam selepas itu dalam keadaan bogel dan kesakitan selain tangan dan kakinya diikat serta semua wang tunai dan barang kemas yang dipakainya lesap.
“Suspek yang mengurung wanita itu dalam sebuah bilik turut menghubungi suami mangsa dan meminta wang tebusan RM20,000,” katanya.
Beliau berkata, wanita itu dibebaskan Sabtu lalu selepas wang tebusan diterima dan dia dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru di sini akibat kecederaan yang dialaminya. – BERNAMA