KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad dan Hong Kong Post secara bersama mengeluarkan satu set empat setem mengenai makanan tempatan yang memaparkan sajian istimewa dari Malaysia dan Hong Kong.
Penolong Naib Presiden Pos Malaysia Diyana Lean Abdullah berkata Pos Malaysia berbangga diberi peluang untuk mengeluarkan setem itu secara bersama dengan rakannya dari Hong Kong bagi mempromosikan makanan tempatan di kedua-dua destinasi.
Koleksi setem berukuran 30mm x 50mm yang dijual dalam denominasi RM1.40 setiap satu itu memaparkan menu istimewa Malaysia iaitu nasi lemak dan sate serta makanan terkenal Hong Kong iaitu wafel telur dan ‘poon choi’.
“Pengumpul setem tidak harus melepaskan peluang untuk mendapatkan koleksi setem ini kerana ia adalah cara paling menarik untuk mempelajari tentang sesuatu tempat melalui makanan tempatan,” kata beliau semasa memaparkan koleksi setem itu di sini hari ini.
Pegawai Pos Malaysia itu berkata ia juga memberi kefahaman mengenai gaya hidup, budaya dan tradisi serta sejarah sesuatu tempatan dan rakyatnya.
Setem-setem dan produk filateli itu boleh didapati di semua cawangan Pos Malaysia mulai Jumaat ini. – BERNAMA