Presiden baru Indonesia yang bakal memulakan tugas 20 Oktober, Joko Widodo dikatakan akan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 50 peratus.
Kenaikan itu dikatakan akan berlaku kira-kira dua minggu selepas beliau yang dikenali sebagai Jokowi mmemulakan tugas sebagai Presiden Indonesia yang baharu menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono.
Menurut Penasihat Jokowi, langkah itu akan menjimatkan hampir RM43 bilion tahun depan.
Jokowi berhasrat menaikkan harga bagi kedua-dua bahan api itu sebanyak 80 sen seliter bulan depan.
[BACA – Jokowi Bingung Pilih Mercedes Benz Atau Kekal Kijang]
“Rancangan untuk melaksanakannya adalah pada 1 November, tetapi lebih selamat untuk katakan bahawa ia mungkin dilaksanakan dalam tempoh dua minggu pertama selepas memegang jawatan presiden,” katanya.
Penasihat Jokowi itu berkata. duit yang dijimatkan hasil kenaikan itu akan digunakan untuk infrastruktur, pertanian, pendidikan dan projek kesihatan.
Presiden baru itu juga difahamkan akan mempertimbangkan untuk menaikkan harga bahan api sekali lagi pada suku keempat tahun depan.
Harga bahan api Indonesia antara yang paling rendah di rantau ini di mana petrol berharga 6,500 rupiah (RM1.80) seliter dan diesel 5,500 rupiah (RM1.50) seliter, dipetik dari laporan Reuters.
Kenaikan itu dikatakan bakal mencetuskan demonstrasi dan bantahan dalam kalangan rakyat Indonesia ekoran negara itu sering berlaku kes protes akibat kenaikan harga dan dasar-dasar baru yang diumumkan kerajaan.
Di Malaysia, rakyat negara ini sudah mula merancang dengan berhati-hati hasrat mereka untuk bercuti di Indonesia ekoran bimbang dengan demonstrasi yang bakal berlaku akibat kenaikan harga bahan api berkenaan. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU KÂÂ