LABUAN – Pulau bebas cukai seperti Langkawi, Tioman dan Labuan kekal dikecualikan daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkuatkuasa mulai 1 April tahun depan.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pelaksanaan GST tidak akan menjejaskan kawasan khas dan bebas cukai kerana cukai tersebut akan memberi manfaat kepada rakyat berikutan pengurangan harga barangan keperluan di negara ini.
“Ketika ini, kebanyakan barangan dikenakan cukai di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan peralihan kepada GST akan memastikan harga barangan tidak meningkat sekali gus langkah ini dapat meringankan beban rakyat,” katanya pada majlis Penerangan Perdana GST di sini hari ini.
Katanya kerajaan mengukuhkan Unit Penguatkuasaan GST dengan penambahan 2,270 anggota, 1,300 anggota Unit Pemantauan Harga dan 202,800 sukarelawan Skuad Pengguna serta membabitkan 579 penghulu dan penggawa.
“Kerajaan mengambil pendekatan dengan mewujudkan dan memberi peruntukan kepada kumpulan pemantau harga dari kalangan persatuan pengguna bagi mengelak berlaku kenaikan harga,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan GST berupaya untuk meningkatkan pendapatan kerajaan dan hasil kutipan cukai itu akan dapat disalurkan semula kepada rakyat melalui pembangunan.
“Malaysia juga perlu berubah daripada sistem percukaian era 70an kepada era digital seiring dengan kehendak dan peredaran dunia,” katanya. – BERNAMA