China – Seorang wanita mempunyai kaedah `kejam’ untuk mengelakkan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun daripada melarikan diri dari rumah, iaitu dengan merantai anaknya itu di basikalnya umpama anjing.
Dengan cara itu, Li Teng yang juga seorang ibu tunggal percaya dia dapat sentiasa memerhatikan anaknya, Li Shao, padahal beberapa jam sebelum itu wanita berkenaan telah berjanji kepada polis untuk menjaga anaknya dengan baik.
Malah kejadian dia merantai anaknya itu berlaku hanya beberapa meter dari balai polis, iaitu selepas mereka keluar dari balai berkenaan.
Li Shao sebelum itu ditemui merayau-rayau di bandar selepas melarikan diri dari rumahnya, dan dia kemudian dibawa oleh orang ramai ke balai polis.
Polis kemudiannya menghubungi Li Teng untuk datang mengambil anaknya, dan selepas berjanji akan melayan Li Shao dengan baik, kedua –dua beranak itu dibenarkan pulang ke rumah meskipun Li Shao merayu kepada polis untuk tinggal di balai polis sahaja.
Li Teng telah berjanji kepada anggota polis tersebut bahawa dia akan melayan anaknya dengan baik, namun apabila keluar sahaja dari balai, dia terus merantai anaknya.
Nasib baik orang ramai yang melalui jalan tersebut telah menghubungi polis.
“Saya bertungkus lumus untuk membesarkannya tetapi dia tidak pernah melakukan apa yang saya suruh malah selalu melarikan diri dari rumah.
“Ini adalah kali kelima dia melarikan diri. Saya tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan serta terpaksa bekerja keras untuk mengatasi masalah hidup kami,’’ kata Li Teng kepada polis.
Wanita itu kemudiannya dirujuk kepada jabatan kebajikan dan pihak berkuasa juga bersetuju untuk memantau serta membantu Li Teng.