MADRID – “Real Madrid masih perlu meningkatkan lagi kemajuan,” kata Cristiano Ronaldo selepas tampil merakamkan hatrik membantu pasukan membelasah Athletic Bilbao 5-0, hari ini.
Penyerang prolifik berusia 29 tahun itu menambah: “Pasukan ini bermain hebat dan menyumbat lima gol tanpa dibolosi. Kami amat berpuas hati.”
Ronaldo kini sudah menjaringkan 13 gol daripada enam penampilan dalam la Liga, musim ini dan juga hatrik ketiga dalam kempen kali ini.
Dia juga kini sudah menyamai rekod 22 hatrik bersama legenda, Alfredo Di Stefano dan Telmo Zarra.
Real menang menerusi gol Ronaldo pada minit ke-2,55,88 manakala Karim Benzema menjaringkan gol minit ke-41 dan 69.
Kemenangan ini melonjakkan Real di atas Atletico Madrid ke tangga keempat dengan 15 mata selepas juara bertahan itu kecundang 1-3 kepada Valencia, Sabtu lalu.
Barcelona kini mendahului dengan 19 mata dan muncul pasukan pertama untuk mengelak gawang dibolosi daripada tujuh perlawanan La Liga selepas menambah kemenangan 2-0 ke atas Rayo Vallecano, Sabtu lalu. – Agensi