PUTRAJAYA – Persidangan Persatuan Komanwel Bagi Pentadbiran dan Pengurusan Awam (CAPAM) yang akan berlangsung tiga hari dari 19 Okt di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, menerima respons menggalakkan daripada peserta antarabangsa.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata setakat ini jumlah peserta antarabangsa telah mencecah lebih 200.
“Peserta antarabangsa termasuk dua timbalan perdana menteri daripada Grenada dan Namibia dan 11 menteri yang memegang portfolio perkhidmatan awam.
“Lima setiausaha kabinet atau ketua setiausaha negara termasuk setiausaha kabinet Palestin telah mengesahkan penyertaan pada persidangan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif CAPAM, Gay Hamilton, di pejabatnya hari ini.
Katanya kira-kira 1,000 peserta antarabangsa dan tempatan akan menghadiri persidangan itu.
Pameran khas akan diadakan dari 17 hingga 21 Okt di ruang legar PICC dan akan dibuka kepada awam, kata Ali.
“Antara tarikan utama pada pameran itu ialah ruang pameran khusus tentang sejarah Perkhidmatan Awam Malaysia dan ‘Quilt of Belonging’ yang diterbangkan dari Kanada.
“Terima kasih Malaysia Airlines dan Air Canada,” katanya dan menurutnya juga akan diadakan Forum Media CAPAM yang akan dihadiri John Spencer, anggota persatuan Society of Editors, UK dan juga pengamal media tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, Hamilton berkata persidangan CAPAM kali ini akan diadakan secara besar-besaran selaras dengan sambutan ulang tahun ke-20 persatuan.
“CAPAM tidak pernah mengadakan persidangan sebesar ini. CAPAM telah menjalin hubungan dengan Malaysia untuk jangka masa lama dan bagi ulang tahun ke-20 CAPAM, akan diterbitkan buku peringatan dengan bahagian khas bagi penyertaan Malaysia,” katanya.
Hamilton turut menyatakan penghargaan terhadap pasukan Malaysia yang membantu menjayakan persidangan itu. – BERNAMA