Melalui laman mikro twitternya hari ini, Menteri Besar Selangor yang baru, Azmin Ali menjanjikan bantuan sebanyak RM 150 ribu buat mangsa tanah mendap di Apartmen Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan menyalurkan RM 500 ribu bagi kos pemulihan sekitar kawasan tersebut.
Menurut beliau lagi, Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama dengan Pejabat Tanah akan memantau pergerakan tanah di kawasan tersebut sebelum membenarkan penduduk untuk pulang ke rumah masing-masing.
Beliau membuat ulasan tersebut setelah hadir sendiri ke kawasan tanah mendap dan bertemu dengan penduduk yang terjejas ekoran fenomena alam itu.
Rombongan tersebut turut disertai Exco Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu serta Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bahru, Lee Kee Hiong.
Memetik laporan dari Malaysian Digest, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Iskandar Samat berkata, kerajaan negeri akan memastikan tahap keselamatan semua penduduk di apartmen tersebut terjamin.
Lantas, makanisme memindahkan mereka buat sementara waktu terpaksa diambil sebelum dapat memastikan kawasan tersebut selamat untuk diduduki semula.
Semalam, satu kejadian tanah mendap telah berlaku di kawasan itu dan mengakibatkan 2000 mangsa terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 dan 2 serta Sekolah Menengah Taman Bunga Raya.
Kegagalan struktur tanah akibat pergerakan air dipercayai menjadi punca kepada tanah mendap tersebut dan mengakibatkan penduduk di dua blok (K dan L) diarah pindah. – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR