Buat penggemar telefilem era 90-an, sudah tentu masih ingat akan gelagat Cik Kiah dan rombongannya ke Sukan Komenwel kan?
Setelah 16 tahun berlalu, pengarah drama tersebut, Mamat Khalid kini kembali dengan buah tangan terbaru, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya.
Masih mengekalkan Delimawati yang sudah sinonim dengan watak Cik Kiah, drama ini mula bersiaran pada hari ini di saluran Astro First.
Menurut teraju utama drama ini, Mamat Khalid, idea dan skripnya sudah lama difikirkan namun baru kini ia dapat direalisasikan atas tuntutan tugas lain.
“Hampir 2 dekad jarak antara 2 telefilem ini, saya harus bijak mencari ruang dan sisi tersendiri untuk disuntik dalam karya kali ini. Saya masih kekalkan elemen dalam Cik Kiah sebelum ini, tapi cerita dan lawak jenakanya relevan pada era ini,” ujarnya kepada portal hiburan Murai.
Ujarnya lagi, walaupun tayangannya agak lewat kerana musim haji sudah berlalu, namun telefilem ini terpaksa menunggu giliran untuk dipertontonkan.
“Pembikinannya sudah lama siap dan hanya menunggu giliran untuk ditayangkan. Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya perlu menanti tayangan Biopik Saloma selesai.”
Penggambaran telefilem ini dijalankan di Chemor, Perak dan Kelana Jaya, Selangor. Ia berkisarkan tentang rombongan yang diketuai Cik Kiah untuk menghantar Encik Isnin ke Kelana Jaya bagi menunaikan ibadah umrah.
Menurut pengarah prolifik itu juga, ini merupakan siri terakhir rombongan Cik Kiah, dan mengharapkan penonton mendapat input dari penayangannya. – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR