Untuk sekali lagi, satu akta khas bakal digubal dan diwartakan bagi membendung gejala menghidu gam dalam kalangan masyarakat di Malaysia terutamanya golongan belia dan pelajar.
Namun, ini bukanlah kali pertama ia dicanang.
Pada pertengahan tahun ini, Agensi AntiDadah Kebangsaan mengumumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal mengemukakan satu undang-undang yang akan dikenali sebagai Akta Inhalant dalam usaha membanteras penyalahgunaan gam.
Memetik laporan dari BERNAMA,  Ketua Pengarah Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Datuk Suhaimi Abdullah berkata, akta ini penting ekoran pembabitan remaja dalam penyalahgunaan gam sebagai alternatif yang lebih murah jika dibandingkan dengan harga dadah.
Sebelum itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan sedang mengkaji model yang digunakan oleh Thailand dan Singapura bagi membendung penyalahgunaan gam untuk diaplikasikan di Malaysia.
Dalam laporan BERNAMA bertarikh 13 Mei lepas, beliau berkata usaha ini bagaimanapun perlu dikaji secara holistik kerana permintaan domestik yang tinggi dalam pelbagai industri di sini.
Tambah beliau lagi, penggubalan akta ini sudah ditimbang tara semenjak 1990-an lagi, namun perlaksanaannya masih tertangguh sehingga kini.
Yang menjadi persoalan mutlaknya, sampai bilakah akta ini akan terus berada dalam zon kajian tanpa diwartakan?
Berapa ramai anak muda yang harus musnah hidup mereka kerana sesuatu yang sudah jelas merbahaya dibenarkan untuk diurus-niagakan dengan begitu mudah sekali tanpa sebarang halangan?
Isu lapuk ini masih menjadi satu perbahasan tanpa apa-apa tindakan dari mana-mana pihak untuk sekurang-kurangnya membendung pengambilan gam dan bahan inhalan lain yang mampu merangsang si penagih untuk khayal.
Sekadar informasi, para penagih bukan sahaja menggunakan gam, malah bahan-bahan pelarut mudah ruap seperti cat, minyak tanah dan petrol untuk melampiaskan ketagihan mereka.
Malah kini, ada perkhabaran tentang kecenderungan menghidu najis kambing, lembu dan ayam! Aneh dan jijik namun benar.
Sesetengah pihak mungkin hanya melihat dadah sebagai ‘silent killer’, namun usah alpa bahawa produk yang mudah didapati di sekitar kita juga boleh dijadikan medium melampiaskan nafsu ketagihan, tanpa sedar mampu membunuh secara tiba-tiba.
Sekadar mengimbau satu peristiwa yang berlaku di Pusat Serenti Sungai Ruan, Raub, Pahang pada pertengahan tahun 2001, beberapa orang pelatihnya ditemui mati kerana perbuatan menghidu bahan inhalan kimia seperti gam, thinner dan petrol secara konsisten.
Kronologi kajian berkaitan akta ini diharap akan berakhir tidak lama lagi dengan pengumuman pengwartaannya supaya penjualan gam dan kimia lain tidak disalahgunakan dan boleh dikawal
Sesuatu yang sepatutnya sudah lama dahulu dibuat tetapi masih bertangguh hingga kini- MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR