KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan media beliau bukan lagi Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Annuar sebaliknya menjelaskan beliau kini adalah Presiden KAFA sehingga pemilihan KAFA diadakan semula pada 15 November ini.
“Akhbar masih lagi tulis saya sebagai Penasihat KAFA. Mohon buat pembetulan.Saya adalah Presiden KAFA Mesyuarat Agung KAFA diadakan bagi memilih Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi tempoh 2014-2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Annuar sebelum ini memaklumkan barisan pemain Kelantan yang akan beraksi pada musim depan akan dimuktamadkan oleh barisan AJK KAFA yang baharu.
Menurut beliau, KAFA akan mengadakan Mesyuarat Agung persatuan itu pada 15 November ini bagi memilih AJK KAFA yang seterusnya bagi sesi 2014-2018.
Bekas timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu bebas daripada tempoh penggantungannya pada 4 Oktober lalu selama dua tahun enam bulan yang bermula pada 4 April 2012. – mynewshub.cc