BENARLAH kalau buat salah selama mana boleh disorok.
Dek kerana kecuaian yang kecil, di Houstan, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan apabila kumpulan pengedar tersilap menulis alamat pada bungkusan barang terlarang itu.
Sindiket itu menggunakan khidmat penghantaran FedEx bagi menghantar bungkusan mengandungi dadah jenis kokain, heroin dan methamphetamine.
Hasil maklumat penerima bungkusan, pihak polis diketuai Syerif Adrian Garcia menyerbu kediaman suspek dan menemui pelbagai jenis dadah selain senjata api.
Syerif Adrian Garcia berkata, tiga suspek, Stephanie Adams, 30, Michael Taylor, 45, dan Leslie Peck, 32, ditahan dengan dadah dianggarkan bernilai AS$100,000 (RM328,000) hasil maklumat yang diberikan.
“Antara dadah ditemui di rumah suspek termasuk ganja, kokain, morfin, LSD, kodein dan steroid. Polis turut menemui ubat untuk kanser yang dipercayai dicuri dari sebuah farmasi selain wang tunai dianggarkan berjumlah AS$6,700 (RM22,000),” katanya.
Selain itu, pelbagai senjata api turut dirampas termasuk senapang patah, pistol dan sebuah AR-15 dilengkapi teleskop malam ala tentera AS.
Menurut Garcia, ketika ditahan, Stephanie sedang mengambil dadah sementara anak perempuannya yang berusia lima tahun tidur di bilik lain.
Mereka semua kini berdepan pelbagai tuduhan membabitkan dadah dan senjata api.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: CRIME BUSTERZ