Siapa cakap lagu sentuhan komposer Malaysia tidak berkualiti? Nah, kumpulan dari Indonesia, ST12 telah merakamkan semula lagu dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad dalam album terbaru mereka.
Diberi nama Terjemahan Hati, album tersebut memuatkan lagu gubahan Manan Ngah dan lirik oleh Habsah Hassan itu bersama 10 lagu terbaru.
Menurut ST12, lirik lagu ‘Salam Terakhir’ memiliki makna tersendiri dan ia secara tidak langsung merupakan simbolik simpati kumpulan tersebut terhadap tragedi MH370 dan MH17.
“Kami tujukan lagu ini buat ahli keluarga mangsa pesawat MH370 yang hilang dan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine. Salam takziah dari kami warga Indonesia yang cintakan keamanan,” ujar ketua band, Pepep.
Tambah beliau lagi, lagu tersebut direndisi dan dinyanyikan dengan gaya ST12, malah beliau juga mengakui yang lagu itu terlalu ‘luarbiasa’ untuk ditandingi.
Album Terjemahan Hati diterbitkan sepenuhnya oleh Pepep dan masih mengekalkan genre Pop Rock Melayu seperti album sebelumnya.
Sebelum ini, kumpulan ST12 cukup dikenali dengan lagu ‘Putih-Putih Melati’ yang menjadi siulan di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.
Apa tidaknya, di Malaysia sahaja, jumlah jualan ‘ring-back tone’ hampir mencecah 4 juta muat turun.
Sekadar informasi, sebelum ini, pemuzik Indonesia pernah merakamkan lagu-lagu ciptaan pemuzik Malaysia, antaranya Madu Tiga nyanyian asal P. Ramlee yang dinyanyikan kumpulan Dewa19 dan Rindu Serindu Rindunya, lagu asal Spoon yang dinyanyikan Firman.
– MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR