Putera William dan isterinya Kate, telah menghantar surat amaran kepada seorang jurugambar yang cuba merakamkan gambar anak mereka Putera George dan pengasuhnya.
Jurucakap pasangan itu baru-baru ini berkata, keselamatan anaknya itu benar-benar di ambang risiko apabila Putera George terpaksa dibawa keluar dari sebuah taman di tengah London selepas jurugambar itu berada terlalu dekat.
“Duke dan Duchess of Cambridge telah pun mengambil tindakan undang-undang untuk meminta seorang individu berhenti mengganggu dan mengikut anak mereka Putera George dan pengasuhnya,” kata jurucakap itu yang dipetik laporan AFP.
Peguam pasangan diraja itu sudah pun menulis surat amaran kepada jurugambar berkenaan.
“William dan Kate faham tanggungjawab yang akan dipikul oleh George satu hari nanti (waris takhta Britain) tetapi ketika dia masih muda, dia mesti dibenarkan untuk menjalani kehidupan biasa seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Jurucakap itu berkata, tiada ibu bapa akan berkompromi jika ada seseorang mengekori dan seakan membahayakan anak mereka ketika si kecil sedang bermain di sebuah taman awam atau pun melakukan aktiviti harian.
Akhbar The London Evening Standard melaporkan seorang jurugambar cuba merakamkan gambar anak mereka Putera George yang berusia setahun ketika bayi itu bermain di Taman Battersea.
Jurugambar sama juga dikatakan pernah diminta beredar oleh polis kerana dilihat berdiri di luar Istana Buckingham, di lokasi George sesekali mandi di dalam sebuah kolam renang.
Putera George yang merupakan waris ketiga takhta Britain, kini sering menjadi sasaran paparazzi ketika menghadiri majlis awam dengan ibu bapanya tetapi tidak dibenarkan ketika dibawa bersiar-siar atau sedang bermain-main dengan kanak-kanak lain. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K