SEPANG – Muhammad Syafiq Rasol mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pelumba Malaysia pertama meraih kemenangan dalam perlumbaan pertama pusingan terakhir Shell Advance Asia Talent Cup (SAATC) di Litar Sepang di sini hari ini.
Kemenangan pelumba berusia 18 tahun itu, sekali gus memecah dominasi dua pelumba Jepun Kaito Toba dan Yuta Date pada awal perlumbaan dalam misi memburu kejuaraan acara yang julung kali diperkenalkan itu.
Syafiq menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 30 minit dan 27.993 saat, 0.071 saat di hadapan Toba manakala Date pula ditempat ketiga dengan 30:28.187s.
Pada perlumbaan hari ini, anak kelahiran Batu Berendam, Melaka yang sedar telah melakukan kesilapan pada awal perlumbaan menyebabkan beliau berada di tempat ketujuh, berjaya menghidu peluang pada selekoh terakhir untuk memintas dua pelumba Jepun terbabit.
“Dari kedudukan ketujuh saya cuba memintas pelumba lain hingga saya berada di depan sebelum Kaito Toba memintas saya. Saya cuba mengekori semula hingga garisan penamat kerana di laluan lurus, keadaan motosikal saya adalah sama tahap dengan yang lain.
“Saya melihat Kaito Toba dan Yuta Date melakukan kesilapan di selekoh terakhir dan saya ambil peluang itu hingga ke garisan penamat,” katanya.
Pada perlumbaan kedua esok, Syafiq berkata beliau dapat mempelajari daripada kesilapan hari ini, dan tidak mahu ia berulang.
“Saya mahu berada di kedudukan podium sekali lagi esok,” katanya yang kini berada pada kedudukan keenam dengan 82 mata.
Perlumbaan kedua esok juga bakal menentukan juara keseluruhan yang dilihat saingan sengit antara Toba dan Date yang masing-masing mengutip 139 dan 137 mata.
SAATC adalah perlumbaan sokongan yang berlangsung minggu ini sempena perlumbaan Motosikal Grand Prix Malaysia 2014. – BERNAMA