KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sehingga kini pihak berkuasa Syria masih belum mengesahkan identiti dan jumlah sebenar rakyat Malaysia yang cedera dan terkorban sewaktu menyertai kegiatan militan Negara Islam (IS) di negara itu.
Beliau berkata walaupun pihak kementerian telah mempunyai maklumat tersebut hasil risikan selama ini, namun ia belum lagi dapat disahkan pihak berkuasa Syria dan juga pihak IS.
“Kita tidak buat apa-apa hubungan dengan mereka tapi saya pasti maklumat ada dalam tangan saya … kita ketahui siapa yang ada di sana dan siapa yang terkorban dan sebagainya, kita tahu.
“Tapi oleh kerana kita tiada pengesahan rasmi dengan pihak bertelagah, jadi kita tidak dapat buat apa-apa pengumuman rasmi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai seorang bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Syamimi Faiqah yang dilapor telah berlepas ke Syria, 4 Okt lepas dipercayai untuk menyertai kegiatan kumpulan IS.
Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata hasil siasatan secara menyeluruh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden letupan bom di Bukit Bintang di sini baru-baru ini akan diumumkan pada bila-bila masa.
Khamis lepas, dilaporkan seorang joki kereta, Tiong Kwong Yie, 36, maut dan 12 lagi cedera termasuk pelancong asing dalam serangan bom tangan yang dipercayai membabitkan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap, di hadapan sebuah kelab malam, Kompleks Sun, Bukit Bintang. – BERNAMA