KUALA LUMPUR – Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Mohamad Aziz menziarahi keluarga jemaah haji, Allahyarham Ahyak Alias, 73, yang meninggal dunia di Mekah di Bandar Tenggara, Johor semalam.
Tabung Haji dalam satu kenyataan memberithau, Ahyak dilaporkan meninggal dunia pada 3 Oktober lalu kira-kira pukul 1.51 petang (waktu Arab Saudi) akibat penyakit kanser hati.
“Jenazah Allahyarham telah diuruskan oleh petugas Tabung Haji di Mekah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ek,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut Tabung Haji, Mohamad Aziz berharap supaya keluarga Ahyak diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian kehilangan insan tercinta.
Katanya, beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, mendapat keampunan Allah S.W.T serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh.
Beliau turut menyampaikan bantuan khairat kematian sumbangan Tabung Haji kepada waris Allahyarham.