MUD The Musical – A Story of Kuala Lumpur, sebuah teater yang mungkin kedengaran masih asing buat peminat tempatan namun ia sedang dipentaskan semenjak Jun lepas di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.
Dikelolakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014, teater ini akan dipentaskan selama tiga tahun. Ala-ala Broadway kan!
Tempoh tersebut dilihat revelan bagi memperkenalkan Malaysia khususnya salasilah Kuala Lumpur kepada para pelancong dari luar negara.
Teater yang diterbitkan oleh produksi Enfiniti Vision Media milik aktres terbaik Festival Filem Asia Pasifik 2005, Datin Seri Tiara Jacquelina ini berkisarkan tentang susur galur Kuala Lumpur ketika zaman perlombongan bijih timah.
Berdurasi selama satu jam, para penonton bukan sahaja disajikan dengan elemen hiburan namun dapat mempelajari sejarah Kuala Lumpur dan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada era 1880.
Berlatar belakangkan sebuah bandar dan kawasan pertembungan di antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang, naratif penceritaannya berkisarkan tiga watak utama iaitu Mamat, Meng dan Muthiah.
Mereka bertemu dan berkongsi rasa untuk mencuba nasib mencari rezeki bagi mengubah masa hadapan mereka.
Bagi mewujudkan tarikan, teater yang berkonsepkan ‘musical audience interactive’ ini juga mengajak penonton untuk turut serta berlakon. Menarik bukan?
Antara elemen teaterikal menarik yang dipersembahkan adalah ketika babak kebakaran dan banjir besar yang melanda bandar Kuala Lumpur.
Teater ini mendapat sentuhan Amsalan Doraisingam sebagai pengarah dan Pat Ibrahim sebagai pereka tari. – MYNEWSHUB
oleh : IZZAT MOHD ANUAR