JOHOR BAHRU – Sambutan Maal Hijrah 1436H dicemari dengan kegiatan tidak bermoral segelintir pasangan yang disyaki berkhalwat di hotel-hotel bajet sekitar kawasan Skudai.
Dalam operasi melibatkan 10 anggota dan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) awal pagi semalam, empat pasangan ditahan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jaij, Mohd Zamri Kambari berkata, kesemua empat lelaki dan empat wanita terbabit ditahan sepanjang serbuan jam 11 hingga 2 pagi itu.
Menurutnya, kesemua individu tersebut ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997 kerana disyaki melakukan khalwat.
“Pada malam ini, biasanya ramai orang bercuti dan ambil kesempatan, jadi kita membuat operasi dengan memberi tumpuan di sekitar Taman Universiti serta Taman Ungku Tun Aminah iaitu hotel bajet.
“Tujuan operasi adalah membanteras dan mencegah maksiat di hotel-hotel selain membersihkan imej sektor perhotelan daripada tanggapan negatif masyarakat bahawa premis berkenaan banyak mengundang gejala tidak bermoral,†katanya.
Mohd Zamri menasihatkan masyarakat Islam tidak pergi ke hotel untuk tujuan membuat perkara tidak bermoral khususnya perbuatan melanggar hukum Islam.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah untuk proses dokumentasi sebelum ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Jaij bagi tindakan lanjut.
Dalam serbuan dilakukan, seorang wanita berusia 24 tahun meminta pihak berkuasa agar tidak melibatkan keluarganya sejurus didapati berkhalwat bersama lelaki Indonesia.
Dia yang ditemui dalam keadaan hanya bertuala putih sementara pasangannya berusia 37 tahun dan berpakaian lengkap bagaimanapun memberi kerjasama ketika disoal siasat.
Wanita itu dipercayai baharu sahaja kenal dengan lelaki warga asing terbabit yang mendakwa bekerja di Batu Pahat sebagai pembawa bot. – Sinar Harian Online