Kementerian Kesihatan mengesahkan Malaysia masih selamat dan tiada jangkitan penyakit bawaan virus Ebola dikesan sehingga hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata sehingga 15 Oktober lalu,  terdapat sembilan kes disiasat untuk Ebola telah dilaporkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Kebangsaan (CPRC) yang berkemungkinan dijangkiti.
“Ujian pengesanan ke atas sampel klinikal pesakit yang telah dijalankan mendapati kesemua kes berkenaan adalah negatif Ebola,” katanya dalam sesi taklimat kepada media berkenaan Ebola di Putrajaya hari ini.
Selain itu, beliau berkata sebanyak tiga buah hospital telah ditetapkan sebagai pusat untuk merawat pesakit jika mereka disahkan telah terkena jangkitan virus Ebola di negara ini.
[BACA – China Hantar Bekalan Ubat Ebola Ke Afrika]
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata tiga buah hospital berkenaan ialah Hospital Sungai Buloh untuk rawatan di Semenanjung Malaysia, Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah dan Hospital Umum di Kuching, Sarawak.
http://youtu.be/a0sAJF9n_9Q
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengenalpasti 21 buah hospital dari seluruh negara untuk menerima rujukan kes disyaki Ebola untuk tujuan pengurusan awal dan pengesahan jangkitan.
Bagi tujuan pemantauan, Subramaniam berkata aktiviti saringan kesihatan di pintu masuk ke Malaysia juga telah diperkukuhkan untuk memastikan warganegara dan bukan warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara terlibat menjalani saringan sebaik tiba dengan pesawat.
“Kita menjalankan aktiviti saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dan lapangan terbang antarabangsa lain di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Johor Bahru untuk memantau suhu badan pelawat.
“Jika ada pelawat yang dikesan suhu badan mereka tinggi, mereka akan diasingkan untuk pemeriksaan selanjutnya,” kata Subramaniam.
Pihak Jabatan Imigresen juga akan bertanyakan soalan kepada pelawat yang tiba di Malaysia adakah mereka pernah pergi ke negara-negara terlibat iaitu Guniea, Liberia dan Sierra Leone.
“Jika mereka pernah berada di negara-negara terlibat, pelawat itu akan diminta berada di sebuah kawasan kuarantin yang terletak di dalam lapangan terbang dan mereka akan disiasat adakah mereka telah bersentuh dengan pesakit Ebola.
“Jika tiada sebarang perhubungan, individu berkenaan akan dibenarkan untuk pergi, bagaimanapun jika ada mereka akan diletakkan di bawah pengawasan kuarantin selama 21 hari. Jika tiada jangkitan mereka akan dibenarkan pergi,” katanya.
Bagi mereka yang sudah bersentuh dengan pesakit Ebola dan menunjukkan gejala penyakit berkenaan, mereka akan dihantar terus ke hospital berdekatan daripada senarai 21 hospital untuk menjalani pemeriksaan ujian Ebola.
Secara keseluruhan di seluruh dunia, sebanyak 8,400 kes dilaporkan di seluruh dunia dengan melibatkan 4,033 kematian.
Di Guinea, sebanyak 73 kes dilaporkan dengan 38 kematian, Liberia 188 kes dengan 94 kematian, Sierra Leone 129 kes dengan 95 kematian. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU KÂÂ