DAKWAAN wujudnya kegiatan kongsi gelap dan mafia selain kononnya kawasan itu menjadi lubuk penjenayah di Kuala Sepetang, Perak dinafikan oleh Polis Perak

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana polis tidak pernah menerima sebarang laporan daripada orang ramai terutama penduduk di kawasan itu berhubung kegiatan mafia.

“Kita tidak menafikan berlakunya jenayah seperti dadah, penyeludupan… tetapi perkara itu tidak begitu digeruni atau membimbangkan penduduk yang tinggal dan berniaga di kawasan itu.

“Saya tidak menafikan (kegiatan kongsi gelap) ada berlaku tetapi saya menafikan istilah mafia bermaharajalela, mafia menguasai Kuala Sepetang…itu tidak betul,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini.

Penafian itu dilakukan susulan pendedahan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Kuala Sangga di negeri ini dikuasai kumpulan mafia kebal dari pihak berkuasa.

Akhbar itu mendakwa kegiatan jenayah berlaku di kawasan itu seperti  perjudian, pengedaran dadah, penyeludupan senjata, pelacuran serta menceroboh tanah kerajaan.

Paramasivam berkata, dakwaan itu menyebabkan spekulasi negatif dan mencemarkan nama baik Kuala Sepetang yang terkenal dengan aktiviti eko-pelancongan serta boleh menjejaskan perniagaan dan aktiviti penduduk kawasan itu.


kuala sepetang

“Walaupun kegiatan jenayah berlaku tetapi impaknya tidak begitu besar sehingga menyebabkan penduduk atau pelancong bimbang dengan tahap  keselamatan di kawasan itu.

“Jika ada aktiviti seperti yang didakwa, sudah tentu pelancong akan takut ke sana untuk melihat kelip-kelip di waktu malam, memancing atau masuk ke hutan bakau jika mafia menguasai kawasan tersebut,” katanya memetik Bernama.

Menurutnya laporan akhbar itu menyentuh integriti pasukan polis dalam membanteras kegiatan jenayah apabila ia mendakwa pihak berkuasa tidak berani mengambil tindakan atau sengaja membiarkan kumpulan itu bermaharajalela.

Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh ketua kampung kawasan berkenaan yang mendakwa laporan akhbar tersebut sebagai tidak berasas. – MYNEWSHUB.CC

Oleh: SYAÂÂ