KUCHING – Kecewa dengan pergolakan dalaman dan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang, Timbalan Ketua PKR Cabang Petra Jaya Idris Bohari hari ini mengisytiharkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Idris, 52, memaklumkan perkara itu kepada Bernama hari ini.
“Saya berhasrat untuk melupakan politik pembangkang dan badan bukan kerajaan akan menjadi platform baharu untuk saya meneruskan perjuangan untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau yang pernah menjadi setiausaha eksekutif PKR negeri percaya lebih ramai lagi anggota PKR negeri dijangka mengambil langkah sama.
“Saya percaya lebih ramai lagi (anggota PKR di Sarawak) akan mengikuti penghijrahan ini (meninggalkan parti) kerana masalah dalaman serta krisis kepercayaan yang berlaku (dalam PKR),” katanya.
Idris pernah bertanding sebagai calon PKR dalam dua pilihan raya umum dan pada pilihan raya negeri lepas. – BERNAMA