KUANTAN – Tindakan orang ramai dengan dibantu oleh segelintir mahasiswa merempuh pintu utama Universiti Malaya (UM) untuk menghadiri program pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim malam semalam, mencemar martabat dan kedudukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.
Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) Datuk Prof Dr Daing Nasir Ibrahim berkata perbuatan itu juga perbuatan jenayah kerana menceroboh kawasan dan melakukan aktiviti ceramah di insitusi pengajian tinggi terulung negara itu tanpa kebenaran.
“Saya tidak boleh terima jika ada pihak luar yang menceroboh UMP dan kalau di kampus UMP, sesiapa yang hendak masuk (ke kawasan) universiti perlu mendapat kebenaran Naib Canselor.
“Pihak universiti sendiri dari semasa ke semasa sentiasa mengundang penceramah dan pemidato dari luar dan dalam masa sama, kita juga turut menjaga nilai seseorang individu yang hendak masuk ke kampus,” katanya selepas perasmian Hari Terbuka Antarabangsa UMP di UMP kampus Gambang dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden pencerobohan UM malam semalam yang dilakukan oleh segelintir mahasiswa IPT itu serta penyokong kepada ketua pembangkang itu.
Lebih memalukan, Daing Nasir berkata apabila usaha berkenaan turut dibantu oleh pelajar UM dan kelakuan itu amat tidak sopan dan menunjukkan sikap seseorang yang tidak terpelajar.
“Kampus merupakan gedung ilmu, ia tidak boleh dicampuradukkan dengan fahaman-fahaman politik. Kita boleh mengupas sesuatu isu dari segi akademik, tetapi kalau berpolitik secara luar dari normanya seperti mencerca dan mengata maka ini tidak boleh diterima di kampus,” katanya.
Daing Nasir berkata, kejadian itu tidak akan berlaku sekiranya semua pihak menghormati undang-undang yang membenarkan pelajar universiti terbabit dengan kegiatan politik tetapi ia perlu diadakan di luar kampus selaras dengan peruntukan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Dalam masa sama, katanya masih banyak platfom lain yang boleh digunakan oleh mahasiswa untuk menyemai dan menunjukkan bakat kepimpinan yang ada pada diri mereka tanpa melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
“Jika pelajar mahu berkorban, korbankan masa dan tenaga untuk membangunkan diri. Tetapi, jika diri sendiri masih mentah dan masih belum dapat dijaga, usah bela orang lain,” katanya. – BERNAMA