DISEBABKAN sering kali menghasilkan novel serta filem berunsurkan seks, penerbit dan selebriti terkenal, Raja Azmi telah dilarang daripada memberi ceramah dan mengadakan sesi dialog bersama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 18 Oktober ini.
Pada mulanya, Raja Azmi telah dijemput untuk sesi dialog novel terbaharu tulisannya, Karkuma yang diterbitkan oleh Merpati Jingga bersama penuntut di IPTA terbabit bersempena Hari Terbuka UIAM Kuantan.
Raja Azmi menerusi laporan Astro Awani menyatakan rasa terkilannya kerana alasan yang diberikan UIAM berhubung larangan tersebut adalah sangat cetek dan dibuat melulu.
Alasan yang diberikan oleh UIAM kepada Raja Azmi ialah “apa faedah buku tu kepada mahasiswa, kenapa tidak buku-buku ilmiah yang lain?”
“Novel Karkuma yang saya hasilkan tiada halaman yang berunsur seks, ianya adalah sebuah novel epik ketuhanan. Saya sangat terkilan dengan alasan bahawa saya pernah menulis buku yang berunsur seks dijadikan sebab sesi dialog itu tidak boleh diteruskan,” katanya. – MYNEWSHUB
(Kredit Gambar: Harian Metro)