KUALA LUMPUR – Sokongan yang diberikan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memilih Malaysia sebagai satu daripada Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) memperlihatkan negara ini diiktiraf dunia antarabangsa bagi memainkan peranan penting menyuarakan isu-isu kritikal keselamatan sejagat, demikian menurut ahli akademik.
Kejayaan Malaysia mengisi satu kerusi daripada lima kekosongan anggota tidak tetap UNSC bagi mewakili Asia Pasifik memberi peluang kepada negara Islam ini menjadikannya sebagai platform untuk menggalakkan rundingan dalam menyelesaikan hal dan isu keselamatan antarabangsa.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata ketegasan Malaysia dalam menyatakan pendirian berhubung isu-isu antarabangsa mengetengahkannya sebagai negara yang konsisten dan berpegang kepada prinsip mencari kebenaran dan keadilan sejagat.
MALAYSIA NEGARA KONSISTEN
Mengambil contoh isu Palestin dan Bosnia, Mohamed Mustafa berkata Malaysia adalah negara yang menyuarakan pendirian tegas dalam memperjuangkan isu ini sejak dahulu dan sehingga kini.
“Kita melihat negara-negara dunia khususnya PBB tahu dan jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang tidak menyokong kepada kegiatan militan, tidak ekstrem atau negara yang membuat keputusan berat sebelah.
“Kita sangat dramatik dan konsisten atas sebab itu mereka (negara anggota PBB) melihat Malaysia adalah sebuah negara yang dihormati dan selayaknya berada dalam Majlis Keselamatan,” katanya.
Malaysia dipilih menjadi anggota tidak tetap UNSC setelah memperoleh 187 daripada 192 jumlah undi dalam proses pemilihan yang berlangsung di dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada Khamis.
Selain Malaysia, Angola, Venezuela, New Zealand dan Sepanyol turut terpilih mengisi kekosongan dan menduduki kerusi berkenaan pada 1 Jan 2015 untuk berkhidmat dalam UNSC sehingga 31 Dis 2016.
Keanggotaan Malaysia di UNSC kali ini merupakan yang keempat. Kali pertama ialah pada 1965 dan dipilih semula menyertai majlis itu pada 1989/1990. Ia menduduki kerusi itu buat kali ketiga pada 1999/2000.
UNSC dianggotai 15 wakil dengan lima daripadanya adalah Anggota Tetap Majlis Keselamatan, yang masing-masing mempunyai kuasa veto iaitu China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Mohamed Mustafa berkata pemilihan Malaysia, sebagai sebuah negara Islam dan negara membangun untuk menduduki UNSC, adalah satu peluang keemasan untuk menyuarakan pandangan kepada dunia berhubung isu-isu berkaitan Islam dan negara-negara membangun.
WAKIL SUARA NEGARA LAIN
“Pandangan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan pandangan negara-negara membangun penting ini kerana kadang-kala pandangan ini tidak diberikan perhatian atau diketepikan malah tidak didengari.
“Terutamanya sekali dalam hal ehwal keselamatan dan keamanan dunia kita dapat memberi penegasan dan mendesak atau mempengaruhi anggota tetap untuk membuat keputusan lebih adil demi keadilan dunia terutamanya negara Islam dan negara membangun,” katanya.
Dalam isu Palestin yang seakan tiada kesudahannya, kata beliau Malaysia boleh berperanan sebagai wakil kepada negara-negara lain atau negara yang tidak mampu untuk menyampaikan suara.
“Kita melihat isu Palestin ini sudah begitu lama tertunggak dan PBB masih gagal dan menguatkuasakan sebarang resolusi terhadap Israel sejak sekian lama.
“Saya percaya Malaysia mempunyai keupayaan dan populasi yang lebih baik untuk bercakap kerana kita telah menunjukkan pendirian yang begitu konsisten,” katanya.
Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan budaya Islam mampu membangun dengan pesat dan stabil adalah satu kelebihan yang dapat digunakan untuk mempromosikan kesederhanaan demi manfaat bersama dan keamananan dunia sejagat.
Mohamed Mustafa berkata walaupun kedudukan Malaysia tidak sama dengan lima kuasa besar yang mempunyai kuasa veto di UNSC, Malaysia sekurang-kurangnya boleh menyuarakan pandangan mewakili negara-negara Asean.
PANDANGAN DUNIA
Sementara itu, Pengerusi Yaysan Gerakan Kesederhanaan Global Tan Sri Razali Ismail berkata kejayaan Malaysia menanggotai UNSCsebagai anggota tidak tetap membuktikan bahawa masyarakat dunia mempunyai keyakinan dengan Malaysia untuk memainkan peranan baharunya dalam pertubuhan dunia itu.
“Saya bercakap dengan rakan-rakan dari luar negara dan mereka melahirkankeyakinan terhadap Malaysia (untuk melaksanakan tugasnnya di dalam UNSC),” kata bekas diplomat itu. – BERNAMA