ALOR GAJAH – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sentiasa memantau kegiatan kakitangan serta penuntutnya bagi memastikan mereka tidak terpengaruh untuk menyertai anggota kumpulan militan di negara bergolak.
Naib Canselornya Prof Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata bahagian keselamatan universiti itu telah diarah menyemak latar belakang kakitangan serta penuntut agar tidak terpengaruh dengan anasir tersebut.
“UTeM memandang serius pembabitan kakitangan serta penuntutnya dalam aktiviti yang bercanggah dengan ajaran Islam dan tidak diiktiraf kerajaan.
“Saya sendiri telah meminta bahagian pendaftar bersama-sama polis bantuan agar meminta bantuan dari Polis Diraja Malaysia untuk buat saringan keselamatan bagi kesan kakitangan kita yang bermasalah sekiranya ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan bersama Naib Canselor UTeM di Durian Tunggal di sini hari ini.
Shahrin berkata pendekatan lain yang diguna pakai bagi mengelak penglibatan penuntut dalam kumpulan militan adalah melalui pengisian konsep integriti dan nilai murni dalam aktiviti kurikulum dan di luar bilik kuliah.
“Pelajar terpengaruh dengan anasir-anasir seperti ini adalah disebabkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), jadi kita akan cuba bendung dari segi penglibatan pelajar dalam kurikulum dan aktiviti luar kuliah,” katanya. – BERNAMA