Sebuah lagu yang pernah dinyanyikan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada tahun 1968, berduet dengan seorang pelakon berbangsa India kini viral dan memarakkan semangat perayaan Deepavali yang akan disambut esok.
Lagu bertajuk ‘Pujaan Ku’ diperdengarkan pada awalnya dalam filem Gerimis terbitan tahun yang sama, dimuatnaik oleh seorang pengguna Facebook Kd Murugan Selvam pada 10 Oktober lepas.
Sehingga artikel ini ditulis, video berkenaan telah dikongsikan sebanyak 1,447 kali dan mendapat 289 Likes.
http://youtu.be/2Lt7FUkcT2U;
P Ramlee menyanyikan lagu ini berduet dengan Chandra Shanmugam, dengan Chandra menyanyikan lagu berkenaan dalam bahasa Tamil.
Lirik lagu itu versi Bahasa Melayu ditulis oleh Datuk Jamil Sulong manakala lirik versi Tamil ditulis oleh RE Shanmugam.
[BACA – Pengarah Filem Jamil Sulong Meninggal Dunia]
Ketika zaman kegemilangan P Ramlee, seniman agung itu sentiasa menampilkan penglibatan ketiga-tiga kaum utama di Malaysia dalam filem arahannya tidak kira bergenre lucu, cinta, sedih mahu pun serius.
Pelakon berbangsa Cina dan India, diberi ruang untuk tampil dalam karya-karyanya.
Rata-rata peminat Facebook merindui zaman seperti itu, yang kelihatannya semakin jarang wujud dalam karya hari ini.
Gerimis adalah sebuah filem yang dibintangi oleh P Ramlee yang memegang watak Kamal, iaitu seorang pelukis yang jatuh cinta dengan seorang penari kelab malam India bernama Leela, yang dimainkan wataknya oleh Chandra.
Dalam filem ini, konfliknya berkisar tentang perkahwinan berlainan bangsa di negara seperti Malaysia.
Filem ini dikatakan telah membuka mata masyarakat pada zamannya terhadap isu bahawa rakyat sesebuah negara tidak sepatutnya meletakkan rasa iri atau benci kepada rakyat lain yang berlainan bangsa. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K