Perancis – Seorang wanita dihalau keluar dari pentas opera selepas pelakon opera terbabit enggan membuat persembahan hanya disebabkan wanita terbabit memakai purdah.
Pelakon-pelakon opera La Traviata itu hanya menyedari mengenai wanita tersebut ketika mereka melakukan lakonan pada masa kedua.
Menurut pengarah pentas terbabit, Philippe Thiellay, selepas menyaksikan wanita itu, penyanyi kumpulan berkenaan enggan menyanyikan lagu-lagu opera.
Beliau turut mengesahkan wanita yang memakai purdah tersebut telah dihalau kerana dia enggan menanggalkan kain yang menutup mukanya itu.
Meskipun tidak didedahkan namanya, namun wanita berkenaan dipercayai daripada kalangan keluarga berada dari negara teluk dan dia menghadiri persembahan opera tersebut bersama rakannya.
Kejadian yang berlaku pada 3 Oktober lalu, kini menjadi polimik politik.
Ia juga menyebabkan orang ramai berbelah bagi mengenai peraturan yang mengharamkan wanita memakai purdah di Perancis, atau mereka akan didenda sebanyak £180.
Undang-undang mengharamkan pemakaian purdah telah dilaksanakan sejak 2011 di negara itu.
Dalam pada itu, salah seorang peminat opera, Guy Laurent menyelar tindakan pengurusan pentas itu yang menghalau wanita terbabit.
“Apa salahnya wanita itu duduk diam di kalangan penonton dengan wajahnya ditutup.
“Wanita itu dimalukan dengan kejadian ini. Kebudayaan Perancis sepatutnya lebih bertolak ansur.
“Ia bukan tanggungjawab pentas opera untuk melaksanakan undang-undang dengan menghalaunya,’’ katanya.