Wanita yang pernah terlibat dalam kejadian amuk di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Muhdalena Ahmad, 30, dipercayai telah melarikan diri dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, pagi tadi.
Dia sebelum ini diperintah agar ditahan di Hospital Permai, Tampoi oleh Mahkamah Sesyen Putrajaya, Jun lepas.
Muhdalena kemudian dimasukkan ke HSA kerana bersalin kelmarin, memetik laporan online Berita Harian.
Pagi tadi, kira-kira pukul 9 pagi, dia didapati tiada di katil hospital berkenaan selepas memberi alasan untuk keluar ke tandas sebelum itu.
Muhdalena didakwa di Mahkamah Sesyen, dengan empat pertuduhan dalam kejadian amuk yang berlaku dia tahun lalu.
Hakim mendapati tertuduh ketika kejadian mengalami ketidaksempurnaan akal dan memerintahkannya ditahan dengan selamat di hospital mental di Tampoi itu sehingga mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.
Dia yang merupakan bekas penuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia melakukan amuk bersama seorang lelaki pada pukul 2.30 petang, 9 Julai 2012.
Pada 29 Ogos tahun sama, Muhdalena membuat kelainan apabila hadir ke Mahkamah Sesyen untuk sebutan kesnya memakai topeng ‘Power Rangers’ bagi mengelakkan wajahnya dirakam jurugambar.
Pada 19 Julai, dia mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu mengugut polis dan membawa pedang.
Dalam kejadian itu, Muhdalena bersama Allahyarham Khalil Afandi Hamid, 47, mengamuk di perkarangan pejabat JPM yang bersebelahan dengan pejabat yang digunakan Perdana Menteri.
Khalil bagaimanapun meninggal dunia selepas terkena tembakan polis di tangan dan bahagian ari-ari, Muhdalena turut terkena tembakan di paha kanannya. – MYNEWSHUB.CC