IPOH – Seorang lelaki warga emas maut dalam kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Baru Bukit Merah Pasir Puteh, di sini, pagi tadi.
Pegawai Kanan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Zainasrie Zainal, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.34 pagi sebelum anggotanya bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, ketika tiba di tempat kejadian pihaknya mendapati kebakaran 90 peratus membabitkan tiga rumah satu tingkat.
“Mayat mangsa seorang lelaki Cina berusia 64 tahun ditemui di rumah pertama dengan kesan terbakar sehingga 80 peratus seluruh anggota badannya pada jam 7.25 pagi.
“Mayat mangsa dibawa keluar daripada rumah berkenaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – BH Online