SEPANG – Pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin yakin mampu bermula di petak lebih baik pada pusingan kelayakan perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2014 di Litar Sepang, esok.
Pada sesi latihan bebas kedua hari ini pelumba Ongetta-Air Asia itu berhasil mempamerkan aksi memberangsangkan selepas menduduki tempat ke-14 dengan catatan masa 2 minit 15.111 saat iaitu lebih baik daripada sesi latihan bebas pertama pagi tadi.
Pada sesi latihan pertama Zulfahmi berada di kedudukan ke-18 dengan catatan masa 2’16.016s.
“Saya seronok berlumba hari ini, tidak berasa tertekan dan kerjasama dengan pasukan juga bagus. Esok kami akan menggunakan strategi baharu untuk tingkatkan prestasi di sini.
“Beraksi di hadapan penonton sendiri memberikan saya bersemangat, jadi saya harap untuk esok dan perlumbaan Ahad ini, lebih ramai penyokong tempatan hadir memberi sokongan kepada kami (pelumba negara),” katanya kepada pemberita selepas selesai menjalani sesi latihan kedua di Litar Sepang di sini hari ini.
Selain Zulfahmi, turut beraksi bagi kategori Moto3 ialah Hafiq Azmi dari pasukan SIC-AJO yang sekadar menduduki tempat ke-21 dengan catatan masa 2’15.819s dalam sesi latihan yang sama.
Hafiq berkata beliau mahu menamatkan perlumbaan dalam kelompok 15 terbaik pada penampilan pertamanya semusim penuh tahun ini di trek sendiri, di sini.
Sementara itu turut bersaing dalam Moto3 ialah pelumba wild card negara Ramdan Rosli (Petronas AHM Malaysia) dan Hafiza Rofa (SIC-AJO) masing-masing mencatat masa 2’16.370s dan 2’16.652s iaitu pada kedudukan 28 dan 29.
Sesi latihan kedua hari ini menyaksikan Niccolo Antonelli (Junior Team GO&Fun Moto3) mencatat masa terpantas dengan 2’13.583s diikuti dengan Jakub Kornfeil (Calvo Team) dengan masa 2’13.599s manakala Alex Marquez (Estrella Galicia 0,0) muncul ketiga terpantas dengan 2’13.604. – BERNAMA