HULU TERENGGANU – Operasi mencari dan menyelamat seorang pelajar Tingkatan Empat yang hilang sewaktu menyertai acara maraton di Hutan Lipur Sekayu, Kuala Berang di sini sejak Sabtu lalu diteruskan dalam skala besar dengan melibatkan 130 anggota pasukan penyelamat.
Timbalan Ketua Polis Hulu Terengganu, ASP Rosli Amir berkata operasi mencari Ahmad Rafikin Azman, 16, yang masuk hari kedua hari ini ini melibatkan pertambahan 35 anggota tentera dari Kem Rejimen Askar Melayu Diraja Seberang Takir, Kuala Terengganu berbanding 92 anggota penyelamat semalam.
“Operasi pencarian hari ini dipertingkatkan dan diperluaskan sehingga satu kilometer dari jarak dan laluan asal.
“Ia juga melibatkan pencarian di darat dan pesisir sungai dengan bantuan pasukan tentera yang telah memulakan operasi mencari sejak 8 pagi tadi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian Isnin.
Menurut beliau, walaupun usaha pencarian turut dibantu empat ekor anjing pengesan dari jabatan bomba dan polis semalam, namun setakat ini pihaknya masih belum menemui sebarang petunjuk baharu dalam usaha mencari dan menyelamat pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu itu.
Ahmad Rafikin dilaporkan hilang setelah tidak menamatkan perlumbaan maraton Gunung Gajah Terom dan bapanya Azman Othman, 50, membuat laporan polis kira-kira 6 petang semalam.
Azman sebelum itu memaklumkan kepada pihak penganjur bahawa beliau tidak menemui Ahmad Rafikin yang sepatutnya diambilnya kira-kira 3 petang selepas acara itu.
Operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat, polis, Rela, tentera serta penduduk kampung turut disertai anggota keluarga mangsa.
Kes kehilangan pelajar ini turut mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil secara sukarela untuk mencari mangsa, antaranya kumpulan pendaki gunung Persatuan Kembara Negara yang bersama Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong, Datuk Rozi Mamat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri. – BERNAMA