BALING – Seramai 4,530 pelajar dari 194 sekolah terpilih di seluruh negara menerima agihan zakat daripada Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM2.3 juta tahun ini.
Menerusi Projek Iqra, setiap pelajar dari keluarga termiskin menerima sumbangan persekolahan sebanyak RM500, kata Pengerusi TH Datuk Seri Abd Azeez Abd Rahim.
“Sumbangan itu bertujuan meringankan beban keluarga mereka untuk berhadapan dengan musim persekolahan pada Januari 2015,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan zakat 2014 Projek Iqra’ bagi peringkat negeri Kedah di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 540 pelajar dari 45 sekolah di negeri ini menerima sumbangan itu yang berjumlah RM270,000.
Abd Azeez yang juga Anggota Parlimen Baling berkata pemilihan pelajar bagi sumbangan itu dilakukan secara telus dan dapat membantu pelajar yang dipilih.
Beliau berharap waris dan pelajar yang menerima sumbangan itu dapat memanfaatkan bantuan itu merangkumi perkakasan sekolah bernilai RM200 dan wang tunai RM300.
Sementara itu, Abd Azeez yang juga Pengerusi Biro Kebajikan Umno berkata pihaknya akan memastikan bantuan dapat disalurkan terus kepada mangsa banjir di negeri-negeri di Pantai Timur.
“Biro Kebajikan Umno sudah diarahkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk memastikan tiada mangsa banjir yang tercicir daripada menerima bantuan,” katanya. – BERNAMA