ALOR SETAR – Polis menahan tujuh lelaki susulan kes bakar cebisan al-Quran di sebuah medan selera berhampiran Pasaraya Bilion di sini.
Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof, berkata lima lelaki ditahan pada Khamis minggu lalu selepas didapati memukul seorang lelaki berusia 50-an yang juga seorang peniaga di medan selera berkenaan.
Polis kemudian menahan dua lelaki antara jam 5 hingga 6 petang Sabtu lalu selepas didapati terbabit dengan perbuatan khianat membakar gerai makanan di medan selera berkenaan.
Sebelum itu polis menahan seorang lelaki kurang siuman kerana dipercayai membakar cebisan al-Quran.
“Kita percaya kes ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Setakat ini lelaki kurang siuman itu masih ditahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk rawatan lanjut.
“Kita harap orang ramai tidak terlalu emosi dan bertindak melulu hingga mencetuskan ketegangan, biar polis jalankan siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini. – BH Online