KEMAMAN – Sebanyak 70,949 pengguna jalan raya telah memperoleh lesen memandu kelas B2 untuk motosikal yang sah daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) sejak 2009.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata sebanyak 175 program SKSJ telah diadakan di seluruh negara dan berjaya memberi manfaat kepada rakyat berusia 45 tahun ke atas terutama yang tinggal di kawasan luar bandar.
Katanya program itu juga memberi peluang kepada Orang Asli bagi mendapatkan lesen dan sehingga kini lebih 5,000 Orang Asli di seluruh negara memperolehi lesen memandu kelas B2.
“Matlamat utama program SKSJ ini adalah bertujuan supaya lebih ramai rakyat negara ini memiliki lesen memandu yang sah dan akan mendapat pembelaan serta dilindungi insuran apabila berlaku sesuatu kemalangan.
Mereka yang memandu tanpa lesen bukan sahaja salah pada sisi undang-undang, tetapi juga tidak akan mendapat sebarang pembelaan jika terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan lesen memandu B2 kepada 367 peserta program SKSJ di Kampung Tengah di sini hari ini.
Katanya langkah yang dilakukan ini juga bagi membantu mereka yang telah berusia dan tinggal di kawasan pedalaman mendapatkan lesen dengan mudah kerana itu merupakan pengangkutan utama mereka untuk melakukan tugas harian.
Menerusi program itu para peserta hanya dikenakan bayaran minima sebanyak RM160 berbanding RM261 di institut memandu.
Beliau berkata dalam tempoh yang sama di Terengganu sahaja 7,401 orang telah mendapat lesen memandu B2 sah di bawah program SKSJ.
JPJ akan lebih kerap turun padang dan memperbanyakkan lagi program seperti itu terutama di kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli untuk membolehkan mereka yang berkenaan memiliki lesen yang sah, katanya. – BERNAMA