Laporan Ketua Audit Negara 2013 siri ketiga menunjukkan ada pegawai kerajaan bertanggungjawab menggelapkan hampir RM1 juta daripada Jabatan Akauntan Negara (JANM) tetapi dilepaskan tanpa sebarang tindakan berkaitan jenayah.
Menurut laporan itu yang dibentangkan di Parlimen hari ini, Ketua Audit Negara Tan Sri Amrin Buang berkata jumlah keseluruhan wang itu melibatkan RM995,031 wang tidak dituntut melalui pemalsuan dokumen yang terdedah pada Mac 2011.
Laporan itu menyebut tindakan belum diambil terhadap perbuatan pegawai berkenaan yang dilakukan antara 27 Ogos 2008 hingga 21 Disember 2010.
BACA – Prestasi Pengurusan Kewangan 2013 Lebih Baik
Memetik laporan portal Malaysiakini, laporan polis difahamkan sudah dibuat pada 3 dan 10 Mac 2011.
Laporan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula dibuat pada keesokannya 11 Mac 2011.
Sementara itu, prestasi pengurusan kewangan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi tahun 2013 adalah lebih baik berbanding dua tahun sebelumnya dengan peningkatan jumlah yang mendapat penarafan sangat baik (4 bintang).
Amrin berkata sebanyak 194 kementerian, jabatan dan agensi mendapat penarafan itu (4 bintang) berbanding 143 pada tahun 2012 dan 111 pada 2011, memetik laporan Bernama.
“Pencapaian ketara ini menunjukkan pelaksanaan Indeks Akauntabiliti (IA) memberi dorongan kepada pegawai untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap pengurusan kewangan,” katanya.
Amrin berkata bagi Siri 3 sebanyak 62 pengauditan prestasi dan 22 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri.
“Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyelenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, pengurusan hasil cukai, program peningkatan sosioekonomi, pertanian, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi serta pengurusan syarikat,” katanya.
Amrin berkata dalam laporan Siri 3 itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan 112 syor kepada kerajaan persekutuan, 22 (badan berkanun persekutuan) dan 136 (kerajaan negeri) bagi memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.
Kandungan dan sinopsis laporan Siri 3 boleh dilayari dalam laman web Jabatan Audit Negara di http://www.audit.gov.my mulai hari ini dan sebarang pertanyaan atau pandangan boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.
Selain itu sesi ‘townhall’ bersama media mengenai laporan itu akan diadakan pada Rabu (12 Nov) di Angkasapuri yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua-ketua Setiausaha Kementerian.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 1 dibentangkan di Parlimen pada 7 April 2014, manakala Siri 2 pada 16 Jun lalu. – MYNEWSHUB.CC