KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berjanji akan bekerja keras untuk membangunkan negeri itu secara berperingkat di bawah pentadbirannya.
Beliau berkata usaha itu adalah bagi kesejahteraan rakyat Sarawak, agar mereka tidak ketinggalan berbanding negeri-negeri lain terutama dalam aspek pembangunan.
“Biarpun (pembangunan) akan mengambil masa yang lama, ia tidak menjadi masalah selagi kita melakukannya mulai sekarang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Lan Berambeh Anak Sarawak 2014 di perkarangan Stadium Bukit Jalil di sini malam ini.
Turut hadir dalam majlis, Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, isteri Ketua Menteri Puan Sri Jamilah Anu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim dan menteri-menteri kabinet lain.
Karnival itu yang dihadiri seramai 10,000 anak Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia, memasuki tahun kelapan penganjurannya.
Ia pertama kali diadakan di Stadium Bukit Jalil selama tiga hari, bermula semalam.
Karnival dipenuhi pelbagai program seperti pameran dan jualan, forum kerohanian dan keusahawanan dan persembahan kebudayaan. – BERNAMA